FORUM PERINGATAN TAHUNAN DR RANJEET BHAGWAN SINGH (RBS) & PENGUMUMAN PENERIMA GERAN PENYELIDIKAN PERUBATAN RBS 2025
Sukacita dimaklumkan bahawa Akademi Sains Malaysia (ASM) berbesar hati menjemput YBhg. Datuk Seri/ Datuk/ Dato’/ YBrs. Prof./ Ts./ Ir./ Dr./ Tuan/ Puan ke Forum Peringatan Tahunan Dr Ranjeet Bhagwan Singh (RBS) serta Pengumuman Penerima Geran Penyelidikan Perubatan RBS 2025. Majlis ini dianjurkan bagi memperingati jasa mendiang Dr Ranjeet Bhagwan Singh, seorang dermawan yang telah mewakafkan seluruh harta beliau demi memajukan bidang penyelidikan perubatan melalui Tabung Amanah Penyelidikan Perubatan RBS, di bawah penyeliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Forum tahun ini bertemakan “Harnessing Bioactive Natural Products for Healthy Ageing”, seiring dengan unjuran bahawa Malaysia bakal mencapai status masyarakat menua menjelang tahun 2030. Forum ini akan menghimpunkan pemimpin serta pakar daripada kementerian, akademia, industri dan masyarakat sivil bagi berkongsi pandangan serta membentuk jaringan kerjasama strategik. Hasil perbincangan akan dimajukan sebagai input penting kepada majlis dan jawatankuasa kebangsaan berkaitan dalam penggubalan dasar berasaskan bukti. Pada majlis yang sama, ASM akan mengumumkan penerima Geran Penyelidikan Perubatan RBS 2025 bernilai RM50,000 kepada seorang saintis muda cemerlang.
