MENGENAI PERKHIDMATAN FORESIGHT DALAM STI
Foresight dalam Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) ialah suatu pendekatan berpandangan ke hadapan yang bertujuan mengenal pasti tren, cabaran dan peluang masa hadapan dalam bidang STI. Pendekatan ini melangkaui pembuatan keputusan sehala dengan pembangunan senario masa hadapan yang membolehkan kerajaan, industri dan masyarakat membuat keputusan yang bermaklumat, strategik dan berdaya tahan berdasarkan ketidaktentuan yang berkemungkinan boleh berlaku.
Dalam konteks ini, Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC) berperanan sebagai pusat maklumat STI kebangsaan melalui pengumpulan, penganalisisan dan perkongsian data menerusi kajian kebangsaan, indikator dan sistem analitik. Asas bukti yang dihasilkan akan menjadi landasan penting bagi pelaksanaan kajian foresight yang diterajui oleh MOSTI serta menyokong dasar dan strategi negara ke arah ekonomi yang berdaya saing, inklusif dan mampan.
Berpandukan asas ini, pendekatan foresight MASTIC kini sedang beralih secara berperingkat daripada model berteraskan teknologi (technology-push) kepada kerangka berteraskan masyarakat, berorientasikan misi dan didorong oleh permintaan (society-first, mission-oriented, demand-driven). Foresight kini bermula dengan keperluan masyarakat masa hadapan seperti penuaan penduduk, kesejahteraan, keterangkuman, daya tahan iklim dan kualiti hidup seterusnya mengenal pasti teknologi, keupayaan dan intervensi dasar yang diperlukan untuk menangani isu-isu tersebut. Pendekatan ini perlu untuk memastikan bahawa pelaburan STI bukan sahaja kukuh dari segi teknologi, malah relevan dari segi sosial, sejajar secara strategik dan memberi impak yang bermakna.
Pendekatan ini adalah selaras dengan amalan terbaik antarabangsa yang diguna pakai oleh negara-negara inovatif terkemuka seperti Society 5.0 di Jepun, foresight kebangsaan berteraskan rakyat di Korea Selatan, Smart Nation 2.0 di Singapura, foresight strategik Kesatuan Eropah untuk daya tahan jangka panjang serta program GO-Science berorientasikan misi di United Kingdom. Model-model ini meletakkan keutamaan masyarakat sebagai teras kepada penggubalan dasar sains, teknologi dan inovasi serta menegaskan kepentingan foresight sebagai alat tadbir urus strategik.



