Mesyuarat Mengenai Pembangunan Potensi Metodologi Tiruan Berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) dengan The Higher School of Economics (HSE) dan Lawatan Penandaarasan ke Agensi/Institusi Berpandangan Jauh Terkemuka di Rusia
Moscow, Rusia, 5–7 November 2025 — Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC) telah menghadiri Mesyuarat Potensi Pembangunan Metodologi Foresight berasaskan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bersama Institute for Statistical Studies and Economics of Knowledge (ISSEK), Higher School of Economics (HSE), Rusia pada 5-7 November 2025.
Mesyuarat ini telah dihadiri oleh delegasi MASTIC yang diketuai oleh YBrs. Encik Shahrizal bin Shahrudin, Pengarah MASTIC dan Profesor Dr. Alexander Sokolov, Pengarah ISSEK, HSE serta beberapa pegawai penyelidik kanan ISSEK, HSE. Mesyuarat yang dianjurkan memberi tumpuan kepada tiga agenda utama iaitu:
- Pemindahan pengetahuan mengenai pengaplikasian foresight antara MASTIC dan ISSEK, HSE;
- Pengenalan mendalam kepada Sistem Foresight Intelligence (iFORA)yang telah dibangunkan oleh ISSEK, HSE sebagai platform berasaskan AI untuk analisis, pemantauan dan foresight dalam STI; dan
- Perbincangan dua hala bagi mengenal pasti potensi kolaborasi lanjut antara kedua-dua institusi berdasarkan persamaan.
MASTIC turut mengambil peluang untuk menghadiri Sesi Lawatan Penanda Aras ke Russian Academy of Sciences (RAS). Lawatan ini memberikan pendedahan kepada amalan terbaik (best practices) RAS dalam aspek pengurusan, pemantauan dan penilaian projek R&D. Ini adalah selari dengan fungsi utama MASTIC dalam pengurusan data dan maklumat STI negara. RAS merupakan akademi utama di Rusia yang diberi mandat untuk mengurus serta menyalurkan dana R&D untuk penyelidikan asas yang menjadikan RAS sebuah institusi rujukan penting bagi tadbir urus STI khususnya bagi pelaburan R&D.
Sebagai penutup lawatan kerja ini, delegasi MASTIC telah mengadakan kunjungan hormat kepada TYT Dato’ Cheong Loon Lai, Duta Besar Malaysia ke Persekutuan Rusia. Perbincangan tertumpu kepada hala tuju kolaborasi pasca mesyuarat dan peluang kerjasama strategik antara Malaysia dan Rusia. TYT Dato’ turut berkongsi pandangan serta pengalaman beliau bagi memastikan objektif kerjasama ini dicapai secara keseluruhan dan memberi nilai tambah kepada ekosistem STI negara.
MASTIC komited untuk meneruskan kerjasama strategik bersama ISSEK, HSE dan RAS bagi memperkukuh pembangunan metodologi foresight nasional berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI). Hasil daripada mesyuarat dan lawatan penanda aras ini akan dijadikan asas kepada penyediaan rangka kerja kolaborasi yang lebih strategik termasuk pembangunan kapasiti, penyelidikan bersama serta perkongsian kepakaran lanjut. MASTIC yakin bahawa kerjasama antarabangsa menerusi diplomasi sains akan mempertingkat nilai perkhidmatan MASTIC sebagai pusat rujukan kebangsaan dalam menyediakan analisis dan perkhidmatan foresight yang lebih cekap berasaskan AI. Ini secara tidak langsung akan membantu Kerajaan untuk membina Malaysia yang lebih berdaya saing dengan pembangunan polisi sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) yang berasaskan data dan future proof.

