Penjajaran Mekanisme Akauntabiliti Indeks Inovasi Global (GII) merentas Kementerian/Agensi Bagi melonjak Daya Saing Inovasi Negara
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC) telah membentangkan langkah strategik untuk mengukuhkan prestasi Malaysia dalam Indeks Inovasi Global (GII) di Mesyuarat Majlis Sains Negara (MSN) Bil. 1/2025 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 5 November 2025.
Mesyuarat bersetuju dengan syor MOSTI untuk menjajarkan mekanisme akauntabiliti bersama berasaskan Pendekatan Menyeluruh Kerajaan (Whole-of-Government), diselaraskan dengan 23 indikator GII terpilih mengikut fungsi setiap Kementerian dan Agensi. Langkah ini memastikan semua pihak memainkan peranan jelas dan terukur dalam memacu peningkatan kedudukan Malaysia dalam GII sebagai penanda aras utama inovasi dan daya saing negara.
Turut hadir, YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Haji Fadillah Haji Yusof, yang menekankan keperluan untuk:
- Penambahbaikan pembiayaan dana STI;
- Penyelarasan agenda R&D berorientasikan misi; dan
- Penghasilan inovasi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat dan memacu Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi selaras dengan nilai MADANI menjelang 2030.
MOSTI kekal komited memacu ekosistem inovasi negara agar lebih tersusun, berimpak dan berdaya saing di peringkat global.

