Langkau ke kandungan utama
Sila tunggu...

STI Indicator

Pengenalan

Indikator Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) ialah petunjuk yang digunakan untuk mengukur prestasi STI negara berbanding sasaran yang ditetapkan Kerajaan dan sebagai input bagi perbandingan daya saing negara di peringkat antarabangsa.

Kajian Penyelidikan dan Pembangunan Kebangsaan

Tujuan utama kajian ini adalah untuk mengukur kadar pelaburan dalam menghasilkan pengetahuan sains dan teknologi yang baru dengan melihat pencapaian di dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara. Hasil daripada kajian ini menyediakan gambaran menyeluruh mengenai perkembangan aktiviti R&D yang dijalankan oleh sektor awam dan swasta di Malaysia. Data aktiviti R&D yang tepat dan terkini perlu dikumpulkan secara komprehensif bagi menyediakan input yang penting bagi penggubal dasar.

Kajian Inovasi Kebangsaan

Kajian Inovasi Kebangsaan telah dijalankan sejak tahun 1994 bagi menyediakan maklumat berkenaan dengan tahap perkembangan teknologi negara. Ia membolehkan penggubal dasar mengenal pasti ciri-ciri inovasi secara komprehensif yang amat penting untuk campur tangan dasar. Kaedah yang diguna pakai di dalam kajian ini adalah berdasarkan Oslo Manual dan Community Innovation Survey yang dijalankan di negara-negara Kesatuan Eropah (EU).

Kajian Kesedaran Awam Mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Malaysia

Kajian ini bertujuan untuk mengukur tahap kesedaran rakyat Malaysia, sikap, minat dan pemahaman sains, teknologi dan inovasi (STI) serta sejauh mana penglibatan masyarakat umum di dalam program STI dan kejayaan pelaksanaan program-program tersebut. Hasil penemuan kajian ini adalah penting bagi penggubal dasar untuk merancang dan melaksanakan strategi yang sesuai dalam memastikan STI mudah difahami dan lebih menarik minat masyarakat. Masyarakat awam sebaliknya akan mendapat faedah melalui program STI yang efektif, di mana ia akan membawa kesan yang positif kepada pembangunan sosial dan ekonomi. Selain itu, perbandingan boleh dilakukan dengan negara-negara lain bagi tujuan penggubalan dasar dan penandarasaan.

 

Kajian Bibiometrik Malaysia

Kajian bibliometrik kebangsaan dilaksanakan sebagai asas kepada pembangunan pangkalan data bibliometrik kebangsaan yang diperlukan untuk merancang pembangunan strategik sains dan teknologi (S&T) negara. Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti output pengetahuan S&T oleh saintis Malaysia yang diukur dengan melihat kepada bilangan kertas kerja yang dihasilkan di peringkat antarabangsa, mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pencapaian institusi dan individu dalam bidang tertentu serta mengenal pasti tahap kerjasama di kalangan institusi dan negara.

 

Petunjuk Sains dan Teknologi Malaysia

Petunjuk Sains dan Teknologi Malaysia merupakan gabungan data daripada kajian-kajian yang dilaksanakan oleh MASTIC termasuk data-data sekunder yang diperoleh daripada organisasi dan agensi lain. Laporan ini memberikan maklumat terperinci terhadap pencapaian dan trend S&T seperti pendidikan, pembangunan sumber manusia, penyelidikan dan pembangunan, inovasi, penerbitan saintifik dan kesedaran awam. Ia juga mengandungi petunjuk yang komprehensif bagi menandaras status dan pencapaian negara dengan tahun-tahun sebelumnya dan juga perbandingan antarabangsa.

 

Laporan Awam

Statistik Kajian dan Ukur kami telah diterbitkan pada KRSTE.my