Langkau ke kandungan utama
x
Latar Belakang

Kajian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Kebangsaan dilaksanakan untuk mengukur dan melihat status, trend dan statistik R&D negara bagi sesuatu tahun kewangan.

Kajian R&D Kebangsaan telah dilaksanakan oleh MASTIC sejak tahun 1994 (bagi tahun kewangan 1992). Sebanyak 14 Kajian R&D Kebangsaan telah diterbitkan bagi memenuhi keperluan pelanggan dalaman dan luaran MASTIC. Kajian yang terkini dilaksanakan oleh MASTIC adalah pada tahun 2019, meliputi data tahun kewangan 2018.

Hasil daripada kajian ini akan digunakan untuk, mengukur prestasi R&D negara berbanding sasaran yang ditetapkan oleh Kerajaan seperti Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 dan bagi tujuan perbandingan antarabangsa.

 

Objektif Kajian R&D Kebangsaan 2019

  1. Mengukur  status, kemajuan dan aliran perubahan aktiviti R&D negara secara menyeluruh;
  2. Mengenal pasti dan menganalisis trend perbelanjaan R&D, sumber pembiayaan R&D, sumber manusia yang terlibat dalam aktiviti R&D, bidang penyelidikan dan output daripada aktiviti R&D seperti bilangan penerbitan dan harta intelek  secara makro sehingga tahun kewangan 2018;
  3. Membandingkan kemajuan aktiviti R&D negara dengan negara-negara lain berdasarkan dapatan kajian; dan
  4. Mengkaji dan menganalisis nisbah perbelanjaan kasar R&D terhadap GDP, nisbah minimum 30:70 perbelanjaan R&D di antara sektor awam dan swasta serta bilangan penyelidik bagi setiap 10,000 tenaga kerja berdasarkan faktor-faktor seperti politik, ekonomi, sosial, teknologi, persekitaran, dasar dan lain-lain
Skop dan Metodologi

Kajian R&D Kebangsaan meliputi organisasi awam dan swasta. Sektor yang terlibat terdiri daripada:

  1. Institusi Pengajian Tinggi (HLI);
  2. Agensi dan Institut Penyelidikan Kerajaan (GRI);
  3. Perusahaan Perniagaan (BE); dan
  4. Organisasi Bukan Kerajaan (NGO)

Kajian ini mengguna pakai garis panduan Frascati Manual yang diterbitkan oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD, 2015).

Terdapat tiga (3) kaedah pengumpulan data iaitu secara atas talian, temu duga melalui telefon dan temu duga secara bersemuka.

Definisi

Terdiri daripada kerja-kerja kreatif dan sistematik yang dijalankan untuk meningkatkan stok pengetahuan – termasuk pengetahuan berkaitan manusia, budaya dan masyarakat – dan untuk merangka aplikasi baru untuk pengetahuan yang sedia ada (Frascati Manual, 2015).

Status Semasa Kajian Terkini

Kajian R&D Kebangsaan yang seterusnya dijangka akan diterbitkan pada tahun 2023 bagi pelaksanaan Kajian R&D Kebangsaan 2021 (Tahun Kewangan 2020)

Statistik : 

Pola Kajian

Last modified
Mei 2022