Langkau ke kandungan utama
Sila tunggu...

Raw Data for Research and Sciences

Pengenalan

Pangkalan Data MOSTI Raw Data for Research and Sciences (RADARS) telah dibangunkan oleh Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) menerusi Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC) pada tahun 2019. RADARS menyediakan satu platform perkongsian data terbuka bagi data mentah sains dan penyelidikan yang terdapat di bahagian, jabatan dan agensi MOSTI agar dicapai oleh pengguna awam khasnya pelajar dan penyelidik tempatan.

Majoriti data yang terkandung dalam RADARS adalah bersifat umum, terbuka dan dikongsi secara percuma dengan syarat pengguna mematuhi terma dan syarat yang ditetapkan oleh pemilik data secara berkala. Terdapat juga, sebilangan data jenis terhad seperti imej satelit terkini, data radar dan satelit di mana pengguna perlu memohon terus kepada agensi pemilik data yang berkaitan dan berkemungkinan dikenakan bayaran mengikut spesifikasi data yang dimohon.

Pautan Aplikasi: https://radars.mosti.gov.my

Pembangunan pangkalan data ini turut dijadikan sebagai salah satu milestone utama di bawah Inisiatif MOSTI 2019/20 bertajuk ‘Perkongsian Pangkalan Data Dan Peralatan Kementerian’.

Objektif

  1. Melaksanakan pengumpulan dan pengurusan perkongsian data terbuka bagi data mentah sains dan penyelidikan daripada bahagian, jabatan dan agensi MOSTI. Ini bagi memastikan pengguna dapat mencapai data yang berkualiti dan sahih bagi tujuan membantu memperkasa aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R,D&C);
  2. Menggalakkan penggunaan data terbuka bagi data mentah sains dan penyelidikan untuk aktiviti R,D&C dan penjanaan pengetahuan;
  3. Memastikan perkongsian data terbuka bagi data mentah sains dan penyelidikan yang berterusan untuk mengelakkan duplikasi penyelidikan yang sama seterusnya menjimatkan kos pembiayaan R,D&C oleh kerajaan; dan
  4. Meluaskan capaian data mentah sains dan penyelidikan kepada komuniti STI melalui satu sumber data STI sahih.

Faedah

  1. Menyalurkan data asas kepada penyelidik tempatan bagi menjalankan penyelidikan lanjutan;
  2. Meningkatkan inovasi di kalangan penyelidik tempatan dalam analisis baru, meneroka hipotesis sekunder atau menggabungkannya untuk dianalisis dengan cara rawak;
  3. Mengurangkan masa dan kos pelaksanaan kajian penyelidikan baru yang secara langsung menjadikan aktiviti R&D tempatan lebih berkesan dan cekap;
  4. Memudahkan penemuan dan pemahaman terhadap data mentah sains dan penyelidikan MOSTI untuk menggalakkan kajian merentasi disiplin;
  5. Meningkatkan integriti data mentah sains dan penyelidikan MOSTI kerana ia dikongsi dengan pengguna awam; dan
  6. Mengelakkan duplikasi aktiviti penyelidikan R&D.

Klasifikasi

Pengumpulan dan pengurusan data mentah dalam RADARS dilaksanakan secara atas talian oleh pegawai penyelaras yang dilantik daripada setiap bahagian, jabatan dan agensi MOSTI. Setiap data mentah yang dikumpul dalam RADARS, dikelaskan mengikut senarai bidang penyelidikan yang terkandung dalam Malaysian Research & Development Classification System (MRDCS 7th edition).